TEMPIAS gosip tidak pernah terlepas daripada diri Erry Putra apabila dikaitkan bermasam muka dengan pelakon Ady Putra sedangkan hubungan mereka baik dan tidak pernah bermasalah selama ini. Malah lebih menyakitkan lagi apabila pelakon Manjalara dan Sutera Maya itu dituduh cuba bersaing dengan Ady.
Bukan itu saja, gara-gara nama mereka yang hampir serupa juga ada pihak cuba melaga-lagakan Erry dan Ady. Bagaimanapun, Erry tak pernah ambil peduli dengan tempias gosip yang boleh merosakkan hubungannya dengan Ady. Dirinya juga sudah semakin faham dengan rencah dunia hiburan.
Dengan nada perlahan, Erry mengakui: “Saya kesal ada pihak cuba melaga-lagakan saya dengan Ady sedangkan hubungan kami tak pernah bermasalah. Nasiblah Ady juga profesional dan tidak ambil pusing dengan cakap-cakap orang yang mahu merosakkan hubungan kami.
“Saya tak nafikan timbul masalah apabila orang kerap tersalah anggap pada saya. Mereka ingat saya adalah Ady Putra kerana nama kami hampir serupa. Bagaimanapun, saya percaya masing-masing ada kelebihan dan kekuatan tersendiri dan saya akui Ady lebih popular daripada saya walaupun kalau ikutkan saya terlebih dulu muncul dalam dunia persada seni.
“Bagaimanapun, saya tak dapat terima jika ada yang mengaitkan saya cuba menumpang populariti Ady sedangkan selama ini, saya bersusah payah untuk berada pada tahap sekarang. Alhamdullilah, saya makin diterima selepas tak putus-putus menerima tawaran berlakon sejak tahun lalu,” kata anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan itu.
Erry sebelum ini pernah mencipta nama dalam persada seni sebagai penyanyi apabila muncul bersama kumpulan Boyz `R' Us pada 1999. Bagaimanapun, selepas kontrak mereka tamat pada 2001, anggota kumpulan dance itu berpecah dan membawa haluan masing-masing. Erry pula menyepikan diri selama dua tahun sebelum muncul sebagai pelakon dan membintangi drama Rindu Berbisik.
Akuinya, kalau ikutkan hati, dirinya sudah malas untuk terus membabitkan diri dalam dunia hiburan. Lagipun ketika itu, dia memakai pendakap gigi, jadi kelihatan agak tak menyenangkan.
“Bagaimanapun selepas mendapat tawaran demi tawaran, saya terfikir balik kenapa saya nak lepaskan peluang keemasan ini, mungkin rezeki saya bukan dalam bidang nyanyian. Saya tak sangka nama saya semakin dikenali apabila membintangi drama hebat seperti Manjalara, Saka, Dendam, Sutera Maya dan macam-macam lagi.
“Kini saya semakin selesa bergelar pelakon walaupun jauh di sudut hati saya masih merindui bidang nyanyian. Saya juga menceburi bidang lakonan kerana mahu mengumpul duit bagi menghasilkan album sendiri. Saya faham dengan keadaan ekonomi hari ini, syarikat rakaman tidak lagi mengeluarkan album baru, jadi biarlah saya ambil inisiatif sendiri demi memuaskan hati saya,” kata bekas penuntut Royal Military College itu.
Erry atau nama sebenarnya, Eirey Syafiq @ Razlan Hamzah, 28, akui buat permulaan, dia sudah merakam dua single iaitu Lagu Cintaku ciptaan Zul 2 By 2 dan lirik oleh Sofaz serta Izinkan Aku (Zul 2 By 2/Erry). Dia juga menjangkakan akan memasuki studio bagi rakaman dua lagu lagi dalam masa terdekat ini.
“Saya tak dapat nak gambarkan perasaan saya ketika ini, tak sabar mahu menyanyi seperti dulu. Bagaimanapun, banyak perkara perlu dipelajari, maklumlah dulu bersama kumpulan sekarang bergerak solo,” katanya.
Profil Erry
Nama: Eirey Shafiq @ Razlan Hamzah
Umur: 28 Tahun
Asal: Pengkalan Cepa, Kelantan
Pendidikan: Royal Military College
Kerjaya: Penyanyi dan pelakon
Album: Kasih Ku Abadi (Boyz `R' Us)
Drama: Rindu Berbisik, Rinduku Semerbak Kayu Manis, Sepi Itu Jiwa, Manjalara, Saka, Dendam, Sutera Maya
Filem: Bicara Hati, Selamat Pagi Cinta, eee...Hantu
5 comments:
ponat den baconye...heheh
tak yah baco....kan ada dlm paper metro ar itu,,,,...siap ader cover pict lagi,....
haha..x beli metro la kak roha..hehehe
hanyolah bace sni jekk..hehee
hahaha.. curik kat paper... wakakaka...
entah mne la baby curik.. lupo... ngeee
Ada berita tentang Erry jgl lupa update..........
Post a Comment