CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, April 10, 2009

Sinopsis Matahari

KISAH tragik wanita yang memburu cinta sejati kerana kecundang dalam cinta pertama adalah paparan menarik dalam drama bersiri 44 episod, Matahari yang akan menemui penonton menerusi slot Akasia TV3.

Matahari adalah kisah wanita kampung yang naif dan terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dalam hidupnya sehingga bertukar menjadi wanita yang penuh berketrampilan. Bersandarkan kekuatan dan kebijaksanaannya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi mencapai semua keinginannya.

Drama ini terbitan Pena Kreatif Sdn Bhd menampilkan sentuhan pengarah berpengalaman, Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb.

Selaku pengarah, Mohd Feroz berkata, selain menampilkan nama besar, kekuatan Matahari adalah dari segi jalan ceritanya.

"Kisah ini penuh dengan konflik dan ada kelainan yang menepati cita rasa penonton tempatan. Banyak elemen menarik dalam cerita ini yang boleh menarik perhatian penonton.

"Mungkin orang menganggap cerita gadis kampung memburu impian di bandar ini klise tetapi saya yakin cara kita menggarap cerita ini ada kelainan daripada yang pernah dipaparkan sebelum ini.

"Apa yang menarik, penonton berpeluang melihat perubahan karakter Matahari lakonan Lis Dawati yang berubah dari gadis kampung kepada lebih berketrampilan di bandar," katanya ketika ditemui dalam majlis ramah mesra bersama pelakon tiga drama untuk TV3, baru-baru ini.

Mohd Feroz berkata, semua pelakon memberikan komitmen terbaik mereka dalam drama itu. Penggambaran drama ini membabitkan tempoh lebih empat bulan.

"Setakat ini sebanyak 12 episod sudah siap dan dijangka penggambaran drama ini akan selesai pada Mei nanti," katanya.

Selain Matahari untuk slot Akasia, turut diperkenalkan barisan pelakon untuk slot Lagenda, Julia Juli dan slot Sinetron, Upik Abu & Laura. Hadir sama, Penerbit Pena Kreatif, Ziela Jalil.



Sementara itu penulis skrip drama Matahari, Jumal Yunus berkata, dia menafikan cerita Matahari adalah adaptasi dari cerita drama bersiri Thailand, E'Pring.


Katanya, hanya konsep cerita Matahari yang mengisahkan perempuan mencari cinta mempunyai sedikit persamaan dengan E' Pring.

"Mungkin ia hanya secara kebetulan saja ada sedikit persamaan dengan cerita itu. Sebenarnya, penerbit cerita ini, Ziela yang beritahu saya cerita Matahari ada sedikit persamaan dengan E'Pring. Hakikatnya, saya sendiri tidak pernah menonton cerita berkenaan," katanya.

Tambah Jumal, dia juga mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan skrip Matahari dan menafikan menceduk dari cerita orang lain kerana ia hanyalah imaginasinya semata-mata," katanya.

Drama bersiri Matahari menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Lis Dawati Nazaruddin, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Shukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Norkhiriah.

Matahari mula menemui penonton slot Akasia TV3 bermula 30 Mac ini, setiap Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang.

0 comments: